Monday, October 22, 2012

138 tertipu beli rumah murah

Oleh Norul Awatif Romli

am@hmetro.com.my

SHAH ALAM: Seramai 138 pembeli rumah berputih mata apabila dipercayai ditipu lima syarikat hartanah yang menawarkan rumah dengan harga rendah di karnival hartanah yang berlangsung di Kuala Lumpur pada 2006.

Lebih malang, semua pembeli itu turut diisytihar muflis oleh bank yang memberi pinjaman perumahan berkenaan selepas mangsa enggan membuat pembayaran balik kerana berasa ditipu.


Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, 138 daripada 400 mangsa yang menyedari mereka ditipu membuat laporan di beberapa balai polis sekitar Selangor dengan dibantu Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), kelmarin.

Katanya, laporan berkenaan diterima di beberapa Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) antaranya IPD Subang Jaya, Gombak, Klang Utara, Klang Selatan, Serdang, Petaling Jaya dan Shah Alam.

“Kami percaya hampir 400 pembeli rumah yang hadir ke karnival hartanah itu menjadi mangsa, namun mereka tidak membuat laporan. Hanya jumlah berkenaan (138) yang tampil membuat laporan polis.

“Berdasarkan keterangan mangsa, ejen dari syarikat hartanah berdaftar itu pergi ke rumah pembeli untuk mendapatkan tandatangan mangsa,” katanya pada sidang media di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, semalam.

Tun Hisan berkata, borang itu diserahkan kepada enam bank tempatan yang turut bekerjasama bagi memberi pinjaman perumahan kepada pembeli.


Beliau berkata, syarikat terbabit menipu pembeli dengan menjual rumah teres dan banglo berharga RM150,000 hingga RM280,000 di Meru, Klang dan Banting.

Katanya, siasatan terperinci berhubung kejadian akan dilakukan kerana setakat ini polis hanya mendengar laporan daripada sebelah pihak.

“Ketika ini, kami nasihat kepada semua mangsa supaya bersabar kerana siasatan masih dijalankan. Kami mahu bersikap adil dan disebabkan itu kami perlu dapatkan keterangan daripada kedua-dua pihak.


“Semua keterangan mangsa sudah dirakam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.



Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/23

Kongsi artikel ini menerusi media sosial


wynn78 : Saya kongsikan artikel ni untuk semua agar kita jangan terlalu taksub dengan pelaburan hartanah ni ,Sesuatu benda yang harganya rendah daripada pasaran sudah tentunya ada udang di sebalik batu









  




No comments:

Post a Comment